Perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain menjadi pilu selepas tertuduh kedua membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa di Mahkamah Tinggi hari ini.
Turut mengundang kesedihan apabila Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, mendedahkan bahawa Zulfarhan yang membahasakan dirinya sebagai Along memberitahu yang dia merindui kedua-dua ibu bapanya dan mahu memohon maaf.
Ibu mangsa yang berada di galeri awam kelihatan menitiskan air mata selepas tertuduh kedua itu memberitahu kejadian tersebut.
Menceritakan detik berkenaan, Muhammad Azamuddin berkata, sebelum Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017, dia dan mangsa berada di bilik rakan tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi, pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Ketika itu Muhammad Akmal keluar membeli ‘Oral Rehydration Salt’ (ORS).
“Pada waktu itu Zulfarhan ada muntah sekali. Bila saya membersihkan muntahnya, Zulfarhan memberitahu saya dia minta maaf dekat saya sebab dia menyusahkan saya. Saya bagi tahu dia tak ada masalah kita kawan dan Zulfarhan bagi tahu dia rindu mak dan ayahnya dan mahu minta maaf.
“Dia cakap Along rindu mak dan ayah, saya cakap kalau rindu call lah, tapi dia cakap tak apa aku tak nak menyusahkan mak ayah aku, mak aku sakit. Saya rasa pelik kenapa tiba-tiba dia cakap macam itu.
“Tiba-tiba dia (Zulfarhan) mengimbau kenangan saya tumpang rumah dia di Johor Bahru. Saya bagi tahu Zulfarhan, apa yang jadi pun aku tetap dengan kau, kau kena kuat, minggu depan dah nak peperiksaan dan Zulfarhan bagi tahu dia sayang saya.
“Zulfarhan beritahu dia mahu baring atas comforter (selimut) secara meniarap. Selang beberapa minit Muhammad Akmal lihat Zulfarhan tidak bergerak dan memanggil nama Zulfarhan, namun tiada tindak balas daripada Zulfarhan, lalu saya pegang tangan dia (Zulfarhan) dan saya rasa tangan dia sejuk,” katanya.
Tertuduh kemudian menelefon ambulans dan sebelum ambulans tiba, pihak hospital memberi arahan kepada mereka supaya mengerengkan Zulfarhan.
“Anggota parademik yang tiba membuat pemeriksaan, tiada tindak balas daripada Zulfarhan dan selepas itu Zulfarhan dibawa ke Hospital Serdang.
“Tiba di hospital saya dan Muhammad Akmal melakukan pendaftaran di wad kecemasan hospital itu. Kakitangan hospital memberitahu kami Zulfarhan masih ada nadi dan pada jam 9.30 malam seorang doktor bagi tahu Zulfarhan sudah meninggal dunia,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Azamuddin membuat permohonan maaf itu selepas peguamnya, Amer Hamzah Arshad menyoalnya sama ada mahu bercakap sesuatu kepada keluarga Zulfarhan.
“Saya mewakili sahabat-sahabat saya memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya dalam keadaan sebak ketika pemeriksaan utama oleh Amer Hamzah semasa membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Dia berkata, hubungannya dengan Zulfarhan diibaratkan seperti “seutas tasbih yang mana ada awalnya dan tiada berpenghujung”.
“Walaupun Zulfarhan sudah pergi bertemu pencipta, saya dan rakan-rakan sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Pengenalan kami (tertuduh dan Zulfarhan) bermula 2014, walaupun saya dan Zulfarhan berbeza dalam jurusan tetapi UPNM yang menanamkan erti persahabatan dan prinsip ‘no man left behind’ menyebabkan saya dan dia berkawan baik,” katanya.
Dalam keterangannya, Muhammad Azamuddin berkata, pada 22 Jun 2017, dia hanya melalukan seterika wap itu di bahu dan paha Zulfarhan selama satu saat.
“Saya guna seterika itu pada bahu dan paha Farhan tetapi masa buat seterika dan Farhan tidak bersentuhan.
“Saya ambil seterika wap itu apabila Mubin (rakan tertuduh) cakap Zulfarhan kena ajar sikit, selepas itu saya gunakan,” katanya apabila ditanya Amer Hamzah bila tertuduh mengambil seterika itu.
Semasa ditanya mengapa menggunakan seterika wap itu, tertuduh menjawab: “Saya hanya menggertak atau menakutkan Zulfarhan”.
Ditanya lagi mengapa melakukan perbuatan tersebut yang boleh menyebabkan kematian sedangkan dia dan Zulfarhan bersahabat baik, Muhammad Azamuddin menjawab: “Pada saya, tindakan saya hanya untuk menasihati Zulfarhan sebab saya tahu bagaimana perangai Zulfarhan.
“Ketika saya melakukan perbuatan itu saya langsung tidak tahu ia mampu mendatangkan kecederaan kepada Zulfarhan kerana pada ketika itu jelas tiada kesan pada Zulfarhan dan saya tiada niat untuk mencederakan (Zulfarhan), jauh sekali untuk saya melakukan pembunuhan,” katanya.
Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung hari ini.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.