Kamar 04-10 menjadi saksi yang diam. Saksi yang boleh berbicara turut memilih untuk berdiam diri. Mereka memilih untuk mendiamkan satu kekejaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Terkeji.
Dalam bilik itu yang terletak di blok penginapan asrama Jebat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), mereka memilih untuk menyeksa pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, pada 22 Mei 2017.
Pada tarikh itu, selama 60 minit, di antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, mereka bergilir-gilir menyeksa Zulfarhan yang didakwa bertanggungjawab terhadap kehilangan sebuah komputer riba. Mereka, 20 hingga 30 pelajar, beramai-ramai menyeksa Zulfarhan menggunakan tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.
Namun mereka tetap tidak puas hati. Kekejaman mereka terhadap Zulfarhan yang sedia lemah kemudian memasuki fasa lebih dahsyat.
Mereka menekap tubuh Zulfarhan sebanyak 90 kali dengan menggunakan seterika wap di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar mangsa. Bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali Zulfarhan melecur teruk.
Seksaan yang dilalui Zulfarhan tidak terperi. Arwah meninggal dunia dalam keadaan terseksa tanpa seorang pun insan tersayang di sisi. Dia pergi dalam kesakitan yang tidak terhitung.
Zulfarhan yang dihantar ke UPNM untuk menuntut ilmu, dipulangkan dalam bentuk mayat dengan jasad penuh dengan luka-luka. Hati ibu bapa mana yang tidak remuk-redam.
Pembunuhan Zulfarhan adalah tragedi gila yang dilakukan mereka yang waras. Semua pelajar termasuk enam yang dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu hilang rasa ihsan dan kemanusiaan. Sifat terkutuk mahu menghambakan insan yang lemah lebih menguasai emosi mereka.
Kalaulah salah seorang daripada mereka menggunakan akal pada hari kejadian, Zulharhan mungkin masih hidup lagi.
Kalaulah mereka melaporkan kehilangan komputer riba itu kepada pihak universiti tanpa bertindak bersendirian dengan menekap seterika wap sebanyak 90 kali, Zulfarhan mungkin masih hidup lagi. Mereka merujuk kepada seorang bomoh yang merupakan bapa seorang suspek berhubung kehilangan berkenaan. Lelaki berkenaan tanpa sebarang rasa tanggungjawab memberitahu Zulfarhan terbabit dalam kehilangan komputer riba itu. Kalaulah lelaki berkenaan rasional dan bertindak sebagai seorang bapa, Zulfarhan mungkin masih hidup lagi. Hakikatnya, rasional langsung tiada dalam insiden Zulfarhan.
Selama dua hari mereka menyeksa Zulfarhan termasuk pada 21 Mei, tetapi hati siapa pun antara mereka tidak tergerak bahawa apa mereka lakukan adalah satu jenayah kejam. Kalaulah mereka tidak menyorok Zulfarhan yang cedera parah serta sedang bertarung nyawa di asrama dan sebuah kondominium serta sebuah hotel di Bangi bagi menyembunyikan jenayah mereka, Zulfarhan mungkin masih hidup lagi.
Mereka cuba menyelamatkan diri masing-masing dengan membiarkan Zulfarhan mati perlahan-lahan dari tarikh 22 Mei hingga saat arwah menghempuskan nafas terakhirnya pada 1 Jun.
Kalaulah seorang warden yang menemui sepucuk surat layang ditulis seorang rakan arwah yang mahu menyelamatkan mangsa dengan mendedahkan petaka yang menimpa Zulfarhan bertindak ke atasnya tanpa mendedahkannya melalui aplikasi WhatsApp, Zulfarhan mungkin masih hidup lagi.
Pendedahan di WhatsApp itu menyebabkan penyeksa Zulfarhan bertindak memindahkan arwah keluar dari UPNM ke sebuah kondominium di Bangi.
Surat layang pertama yang ditulis di atas kertas bersaiz A4 itu diselitkan di pintu pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera UPNM pada 23 Mei 2017. Surat layang kedua pula dilapor diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih keesokan harinya. Kalaulah mereka ambil tindakan segera. Dari tempoh 22 Mei sehingga 1 Jun, Zulfarhan ‘hilang.’ Dia tidak menghadiri kuliah atau aktiviti lain di UPNM. Kalaulah pensyarahnya atau tenaga pengajar lain lebih peka di atas ketidakhadiran ini, arwah mungkin hidup lagi.
Kalaulah doktor yang merawatnya, bukan sekali, tetapi dua kali, lebih berprasangka dan lebih peka, Zulfarhan mungkin masih hidup lagi.
Apabila Zulfarhan dibawa ke klinik itu pada 27 Mei, doktor itu bulat-bulat percaya cerita penyeksa kononnya arwah melecur akibat letupan melibatkan wap di Port Dickson. Pegawai perubatan itu hanya mencuci luka mangsa sebelum mengeluarkan surat rujukan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Apabila keadaan Zulfarhan bertambah tenat, arwah sekali lagi dibawa ke klinik yang sama pada 31 Mei untuk sekali lagi mencuci luka. Sewaktu rawatan arwah yang mengalami dehidrasi teruk muntah beberapa kali. Sekali lagi surat rujukan dikeluarkan. Kali ini pun doktor tidak syak apa-apa. Kalaulah…
Kematian Zulfarhan adalah satu tragedi negara. Ia adalah kegagalan keseluruhan sistem secara kolektif. Kita semua bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Kealpaan kita menyebabkan seorang anak muda kehilangan nyawa.
UPNM harus memikul tanggungjawab ke atas apa yang berlaku. UPNM harus memohon maaf secara tulus dan terbuka. Begitu juga dengan enam pelajar yang disabitkan kesalahan membunuh. Luka berdarah di hati ibu bapa Zulfarhan tidak akan sembuh dengan permohonan maaf itu, tetapi ia akan membawa kepada penutupan satu episod duka. Maafkan saya Zulfarhan. Saya juga sebahagian daripada sistem yang gagal itu.
Sumber :hm /c-nn
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.