Sudah empat tahun berlalu, namun dua cucu kepada pelakon dan pengarah veteran, A.R. Badul masih dinafikan hak duit insurans kelompok berjumlah RM274,000 yang didakwa dibayar syarikat insurans kepada bapa mereka, Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya.
Allahyarham adalah Komando di Kem Sungai Udang, Melaka yang meninggal dunia akibat tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah.
Bekas isteri Allahyarham, Jamilah Ismail, 42, berkata, daripada jumlah tersebut, dia dimaklumkan dua anaknya lelakinya, Mohamad Remy Iskandar, 13, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 14, layak menerima lebih RM64,000.
Namun dakwanya, hak dua anaknya terus dinafikan dan dia hairan sampai bila balu Mohd. Zahir, Nour Shafinar Harun mahu menyimpan duit insurans berkenaan.
“Saya hairan kenapa sampai sekarang balu Allahyarham tak nak bagi duit insurans kelompok yang merupakan hak dua anak saya.
“Alasannya, saya dimaklumkan dia hendak simpan dulu duit itu, untuk apa? Ia hak anak saya dan mereka memang layak menerimanya. Anak saya pun sudah besar, masing-masing berusia 13 tahun dan 14 tahun.
“Bila dia (balu) buat begitu, ia seolah-olah ada sesuatu yang mencurigakan dan seperti main tarik tali. Anak selalu bertanya mana hak mereka, kenapa sampai sekarang sudah empat tahun pun belum lagi menerimanya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Pada 4 September 2019, Mohd. Zahir meninggal dunia akibat tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi.
Anak kepada A.R Badul itu meninggal dunia semasa melakukan demonstrasi akibat maut kena tembakan pistol dipercayai tersasar lalu melepasi baju kalis peluru dipakainya.
Susulan kejadian, timbul isu tuntutan pembahagian harta Allahyarham kepada Remy Iskandar dan Mohamad Ebel Zulkarnain yang merupakan anak mangsa bersama bekas isteri pertama, Jamilah.
Jamilah berkata, sebagai ibu, dia sedih kerana tiada jawapan mampu diungkapkan apabila dua anak lelakinya bertanya tentang hak mereka terhadap duit insurans tersebut.
“Memang anak sering bertanya dan minta saya tuntut hak mereka. Dapat berapa nilai pun mereka tidak kisah asalnya hak mereka diberikan. Ibu mana tidak sedih apabila hak anak dinafikan.
“Saya janji kepada mereka, saya akan terus berjuang menuntut hak anak saya. Selama ini, memang saya dan anak hidup susah. Saya terpaksa berhenti kerja jaga dua anak yang kemalangan motosikal. Mohamad Ebel Zulkarnain patah bahu, ditahan di wad selama dua minggu dan diberi cuti sakit empat bulan.
“Akibat kekangan hidup dialami, dua anak saya terpaksa berhenti sekolah di tingkatan satu dan dua pada April lalu. Insya-Allah, saya kini dalam proses mendaftarkan mereka kembali bersekolah untuk sesi 2025, cuma ia memerlukan sedikit prosedur dan proses rayuan kerana hampir setahun berhenti sekolah,” katanya.
Menurutnya, dia juga dalam proses mencari peguam untuk membuat tuntutan hak dua anaknya mengikut proses undang-undang.
“Selagi saya hidup, insya-Allah saya akan menuntut hak anak saya. Jika dia (balu) enggan serah secara baik, kita guna undang-undang. Saya akan berjuang habis-habisan demi anak,” katanya.
Sumber : UTUSAN
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.