Pengacara popular Elly Mazlein kekal istiqamah dengan penampilan berhijab biarpun menerima tawaran menjadi duta dengan bayaran mewah berjumlah RM500,000.
Tekad dengan keputusan untuk kekal dengan pendirian, figura yang mesra disapa dengan nama Kak Lina Pom Pom ini menolak tawaran yang memerlukan dia membuka tudung.
“Sebenarnya, saya ada terima satu tawaran dengan bayaran mewah ketika mula-mula berhijab dulu. Memang apa yang ditawarkan itu sangat menarik, sampai setengah juta ringgit, tetapi syarat yang ditetapkan adalah saya perlu kembali ke imej lama.
“Saya sendiri terus menolak kerana saya sudah bertudung. Apabila saya dah buat keputusan dan menetapkan pendirian, walaupun ditawarkan macam mana sekali pun, saya kekal dengan pendirian saya,” katanya.
Tambah hos program Mentor Otai ini, jenama yang memberi tawaran ini maklum dengan statusnya yang baru sahaja memakai tudung, namun tetap mencuba nasib mengemukakan tawaran.
“Masa itu memang awal-awal saya bertudung dan mereka tahu. Mereka letak harga RM500,000. Tapi saya beritahu saya tak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya juga, kena ikut cara dan syarat saya. Pendirian saya sudah tetap, saya kekal memakai tudung. Saya menolak tawaran yang diberikan dengan baik.
“Mereka terima keputusan saya. Tipulah kalau saya tidak terfikir dengan tawaran mewah yang diberikan, tapi saya sendiri percaya dengan ketentuan.
“Saya percaya akan ada rezeki untuk saya di tempat lain. Alhamdulillah, saya menyambung kontrak dengan Jakel dan saya juga sangat bersyukur dapat menjadi muse bagi jenama Ariani Luxe untuk Syawal 2026,” katanya kepada XTRA.
Sumber : xtra
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.